Powered by Blogger.

Pages

RSS

MRSM Terendak menang reka cipta antarabangsa di Taiwan


SEPANG 14 Feb. - Tiga pelajar tingkatan lima
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka mengharumkan nama negara
apabila berjaya memenangi pingat emas dalam Pameran Reka Cipta Pemuda
Antarabangsa (IYIE) yang diadakan di Taiwan pada 11 hingga 13 Februari
lalu.
Lebih membanggakan, hasil reka cipta mereka
yang menjadikan air garam atau air laut sebagai sumber tenaga alternatif turut
mencuri perhatian syarikat-syarikat antarabangsa yang bercadang untuk membeli
hak paten reka cipta tersebut.
Pelajar tersebut, Muhammad Dhiyauddin Asyraf
Abd. Jalal, Mohd. Syafiq Abd. Aziz dan Mohamad Nazmi Mohamad Norrizal
masing-masing berumur 17 tahun berjaya menghasilkan 'sel garam' yang mempunyai
daya tahan lebih tinggi berbanding sel kering biasa di pasaran.
''Penjanaan elektrik menggunakan air garam
bukanlah konsep yang baru, tetapi kami tidak menggunakan cara yang biasa
sebaliknya mengubah suai selongsong yang digunakan bagi menjana lebih banyak
tenaga.
"Hasil pengubahsuaian ini begitu menakjubkan
dan berupaya menyalakan lampu meja dengan terang selama dua hari, hasilnya
adalah lebih baik berbanding menggunakan bateri sel kering," kata Muhammad
Dhiyauddin kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Selain lampu meja, 'sel garam' yang dihasilkan
turut berupaya untuk menyalakan lampu suluh dan lampu-lampu perhiasan serta
menghidupkan radio.
Muhammad Dhiyauddin berkata, beliau dan dua
rakan yang lain mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menjalankan uji kaji
dan membina prototaip yang diperlukan untuk menyertai pameran reka cipta di
Taiwan.
''Kami mengambil pelbagai inisiatif termasuk
mendapatkan khidmat nasihat daripada pensyarah Universiti Teknikal Malaysia
Melaka (UTEM) bagi memastikan apa yang berada dalam fikiran boleh dijayakan,"
katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: