Powered by Blogger.

Pages

RSS

MEMAHAMI KONSEP ASAS DAN CIRI -CIRI E-KAUNSELING


Menurut Akta Kaunselor (1998), kaunseling adalah satu proses hubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional. Hubungan menolong ini dilakukan bagi menghasilkan perubahan dan perkembangan peribadi klien yang baik dan menyeluruh secara sukarela sepanjang hayat. Kaunseling adalah berbeza dengan penasihatan atau bimbingan. Ianya merupakan modaliti menolong yang lebih profesional dan memerlukan latihan klinikal dan penyeliaan rapi.

Proses menolong ini melibatkan interaksi sekurang-kurangnya dua orang. Dalam terma kaunseling orang yang menolong digelar kaunselor dan orang yang ditolong digelar klien. Kaunselor bertindak membantu klien meneroka aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri, situasi dan pilihan-pilihan yang ada padanya (Amir, 1987; Sharf, 2000; Tang Chee Yee, 1989).
Konsep asas perkhidmatan kaunseling ialah penglibatan kaunselor dan klien dalam ruang fizikal yang sama. Bagaimanapun, konsep ini mula berubah apabila sebahagian kaunselor mula melihat potensi teraputik dalam ruang internet sebagai peluang dalam memperluaskan perkhidmatan mereka (Murphy & Mitchell, 1998). Proses kaunseling tidak lagi terhad kepada pertemuan dua mata di dalam sebuah bilik. Perkhidmatan e-kaunseling membolehkan klien tidak lagi perlu berada di hadapan kaunselor, di dalam bilik yang sama dan pada masa yang sama (Griffith & Cooper,2003; Laszlo et al., 1999). Talian internet kini telah menjadi penghubung kaunselor dan klien yang berada di ruang yang berbeza (Bloom,1998; Hall, 2004; Sanders & Rosenfield, 1998; Tait, 1999).


Definisi e-kaunseling yang diberikan oleh British Association for Counseling and Psychoterapy ialah satu proses kaunseling alternatif yang berlaku di alam maya berasaskan teks dalam internet samada melalui emel atau ruang sembang (Bloom, 1998; Hall, 2004; Sanders & Rosenfield, 1998; Tait, 1999). Definisi rasmi National Board for Certified Counselors (1997) ialah satu proses kaunseling profesional yang wujud apabila klien dan kaunselor berada dalam tempat berbeza dan menggunakan kemudahan internet untuk berkomunikasi.
Kosep asas e-kaunseling ialah satu proses interaksi antara klien dan kaunselor yang berada dalam lokasi yang berbeza dan menggunakan kemudahan internet untuk berkomunikasi (Ainsworth, 2001; Bloom, 1998).


Konsep E-kaunseling

Kedua-dua pendekatan menggunakan konsep asas yang sama tetapi menggunakan medium yang berbeza. Ia melibakan proses interaksi antara klien dan kaunselor bertauliah untuk mencapai kesejahteraan klien. Medium yang digunakan berbeza kerana kaunseling bersemuka bertemu klien secara langsung dalam ruang yang sama sedangkan e-kaunseling pula menggunakan telian internet sebagai penghubung antara klien dan kaunselor yang berada di dua lokasi berbeza.

Grohol (1999) menyatakan bahawa e-kaunseling adalah satu kaedah baru dalam perhubungan menolong. Ia menggunakan kelebihan internet yang menghubungkan kaunselor dan klien secara synchronous dan asynchronous. Selain talian internet itu sendiri, peralatan komputer yang semakin canggih membolehkan sesi e-kaunseling dilakukan secara video-konferens, ruang sembang (Chat), e-mel mahupun Avatar Chat. Bagi Grohol (1999), kemahiran menolong adalah satu kontinum dari pendekatan kaunseling konvensional ke arah e-kaunseling.


Proses dan peringkat sesi e-kaunseling.
Dalam kaunseling bersemuka terdapat beberapa peringkat dalam sesi kaunseling. Antara proses kaunseling yang terkenal ialah yang diperkenalkan oleh Bremmer pada 1973 (Tang Chee Yee, 1989). Bremmer menyatakan bahawa proses kaunseling mempunyai 8 peringkat.


Lapan peringkat tersebut ialah;

1.Penyediaan dan kemasukan
2. Penjelasan kenapa klien perlu sesi kaunseling
3. Menstruktur dan merangka proses kaunseling
4. Perancangan alternatif
5. Membina hubungan
6. Penerokaan masalah
7. Pengukuhan ketika klien mengamalkan kemahiran-kemahiran baru
8. Penamatan


Tang Chee Yee (1989) mencadangkan rantaian proses kaunseling adalah seperti berikut:
Terdapat
PENEROKAAN - PERBINCANGAN ALTERNATIF - RUMUSAN DAN PENAMATAN SESI



Terdapat banyak lagi proses kaunseling yang boleh digunapakai. Antaranya ialah Eisenberg & Delaney (1977), Lewis (1972 dan Carkhuff (1969). Kesemua aliran proses kaunseling ini boleh digunapakai dalam e-kaunseling. Ini kerana ramai pengkaji menyatakan bahawa e-kaunseling boleh mengamalkan proses kaunseling yang serupa dengan kaunseling bersemuka (Fenichel et al, 2002; Griffith & Cooper, 2003; Kasket, 2005; Murphy & Mitchell, 1998; Sanders& Rosenfield, 1998).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: